KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan akibat penderaan pada tubuh pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Johor bulan lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penemuan itu berdasarkan siasatan jawatankuasa khas ATM yang menemu bual 30 saksi termasuk pegawai dan jurulatih terlibat.
“Hasil keterangan, tiada perlakuan atau aktiviti berbentuk penderaan sepanjang latihan dari 27 Julai hingga 2 Ogos lalu. Latihan yang dijalankan mematuhi garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di Wisma Perwira, hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat awal oleh paramedik tentera di Hospital Kota Tinggi dan dapatan polis sama-sama mengesahkan tiada kecederaan pada jasad mangsa.
Bantuan awal yang diberikan juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Syamsul Haris disahkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan inokulasi tempur di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), disertai lebih 30 pelatih dan jurulatih.
Mohamed Khaled menjelaskan, punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas laporan penuh bedah siasat terperinci diperoleh dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi.
Hasil siasatan awal tidak menemui unsur jenayah, namun ATM akan bekerjasama penuh sekiranya wujud bukti baharu.
Bagaimanapun, keluarga Allahyarham terus mempersoalkan punca kematian.
Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, sebelum ini mendakwa terdapat kesan lebam dan pendarahan pada jenazah serta maklumat bercanggah berhubung waktu kematian anaknya.
Beliau juga menuntut bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi merungkai persoalan yang timbul.
Pada 2 Ogos lalu, Kementerian Pertahanan mengumumkan penubuhan jawatankuasa siasatan melibatkan empat kementerian iaitu Pertahanan, Dalam Negeri, Pendidikan Tinggi dan Kesihatan untuk menyiasat kes berprofil tinggi ini.