Kes Buli: Sudah Tiba Masa Pasang CCTV Di Seluruh Sekolah, Asrama, ‘Blind Spot’

KUALA LUMPUR: Semua sekolah, khususnya sekolah berasrama, wajar dipasang kamera litar tertutup (CCTV) termasuk di kawasan ‘blind spot’ bagi mencegah dan membanteras budaya buli yang semakin membimbangkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah itu bukan sahaja membolehkan pemantauan berterusan, malah menyediakan bukti rakaman yang kukuh untuk tindakan undang-undang.

“CCTV boleh melindungi keselamatan pelajar, guru dan kakitangan daripada pelbagai ancaman. Ia juga mampu mewujudkan suasana sekolah yang lebih kondusif untuk pembelajaran,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar mengingatkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) pernah memulakan inisiatif pemasangan CCTV di sekolah berisiko tinggi sejak 2017, namun pelaksanaan secara menyeluruh masih belum berlaku.

“Kerajaan sebelum ini telah mengakui keberkesanan CCTV, tetapi skopnya perlu diperluas ke semua sekolah,” tegasnya.

Selain CCTV, beliau mencadangkan KPM menyediakan saluran aduan rahsia yang mudah diakses pelajar dan ibu bapa, menempatkan warden atau pegawai keselamatan terlatih di sekolah berasrama, serta mengadakan program kesedaran anti-buli secara berkala.

Menurutnya, peranan kaunselor juga perlu diperkukuh untuk intervensi awal, sementara kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat adalah kunci memastikan budaya buli dihapuskan.

“Kita tidak mahu peristiwa hitam berulang atau ada mangsa lain lagi. Sekolah seharusnya menjadi taman ilmu dan akhlak, bukan medan ketakutan atau penderitaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles