SEREMBAN: Kegembiraan seorang lelaki yang baru dua minggu bertunang bertukar tragedi apabila dia maut ditikam di hadapan rumah keluarganya di Taman Sri Pagi, petang Isnin.
Mangsa, Muhammad Amirul Rasyid Mohd Niza, 28, yang juga bapa tunggal, difahamkan merancang melangsungkan perkahwinan tahun ini dan malam kejadian sepatutnya keluar membeli barang hantaran bersama tunangnya.
Menurut adik mangsa, Muhammad Amirul Hakim, 27, kejadian berlaku sekitar jam 6.50 petang ketika mereka sedang berbual di luar rumah.
“Tiba-tiba sebuah kereta berhenti tidak jauh dari kami. Saya sangka kawan abang, tetapi seorang lelaki turun, terus datang dan menikam dada abang tanpa berkata apa-apa,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Hakim cuba menahan suspek daripada melarikan diri sambil memangku abangnya yang berlumuran darah.
Mangsa sempat menyebut perkataan “ALLAH” sebelum tidak lagi bernyawa.
Dalam keadaan cemas, penduduk sekitar turut membantu menahan suspek berusia 31 tahun itu, sebelum mengikatnya dengan tali.
Kejadian tragis itu disaksikan hampir semua ahli keluarga kerana 10 adik-beradik mangsa berada di rumah.
Ibunya dikatakan pengsan sebaik melihat keadaan anak sulungnya itu.
Mangsa yang baru pulang selepas membawa anak tunggalnya berjalan-jalan sebelum ini tinggal di asrama pekerja di Taman Lavender Height, Senawang, dan bekerja di sebuah kedai makan.
“Arwah tiada musuh. Kami tidak kenal langsung suspek,” kata Hakim yang mengakui sangat rapat dengan abangnya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.
“Suspek menikam dada mangsa menggunakan pisau sehingga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar mengesahkan kematian pada jam 7.28 malam,” katanya.
Pisau yang digunakan turut dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek kini direman sehingga 18 Ogos untuk siasatan lanjut.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Surau Taman Sri Pagi pada jam 2.48 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Forest Height.
Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan bagi merungkai motif sebenar pembunuhan ini.