Pengetua, PK HEM, Warden SMKA Tun Datu Mustapha Dipindahkan Sementara

KOTA KINABALU: Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, dipindahkan sementara ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, selesai.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu diambil susulan Pasukan Petugas Khas Bukit Aman mengambil alih siasatan daripada pihak polis di Sabah.

“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas.

“Kes ini merupakan keutamaan KPM pada masa ini dan kami berharap siasatan telus dapat memberikan keadilan kepada keluarga serta semua pihak terlibat,” kata kenyataan itu.

Kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan penubuhan pasukan khas yang dianggotai sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Mereka telah digerakkan ke Sabah sebagai komitmen memastikan siasatan berjalan telus dan bebas sebarang tekanan.

Terdahulu, kubur Zara Qairina, 13, digali semula atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membolehkan proses bedah siasat kedua di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu. Proses itu mengambil masa hampir lapan jam.

Pelajar terbabit ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di hospital.

BBerkaitan

Latest articles