KUALA LUMPUR — Siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, kini diambil alih oleh pasukan petugas khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata, pasukan yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi membantu dan mengambil alih siasatan kes tersebut.
“Penghantaran pasukan khas itu adalah sebahagian daripada komitmen PDRM untuk melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu.
PDRM turut menegaskan pihaknya memandang serius setiap kes kehilangan nyawa dan meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.
Orang ramai juga diingatkan supaya mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, 13, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Datu Mustapha, Papar kira-kira jam 4 pagi.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai.