STR Fasa 3: 8.6 Juta Penerima Terima Bayaran Mulai Esok

KUALA LUMPUR, — Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan disalurkan secara berperingkat mulai esok, melibatkan seramai 8.6 juta penerima di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan RM2 bilion.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, penerima akan menerima antara RM100 hingga RM650, bergantung kepada kategori kelayakan isi rumah, warga emas atau bujang.

Jumlah penerima Fasa 3 ini meningkat sebanyak 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima pada Fasa 1 Januari lalu. Peningkatan tersebut hasil inisiatif Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun, bagi memastikan bantuan sampai kepada semua golongan yang layak.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati manfaat negara.

“Lebih daripada sekadar bantuan tunai, STR bertujuan memberi suntikan kewangan kepada rakyat agar mereka dapat menuju kebebasan ekonomi, seiring aspirasi Ekonomi MADANI,” katanya.

MOF menjelaskan, pembayaran akan dibuat terus ke akaun bank penerima atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), mengikut kategori kelayakan masing-masing. Penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR turut termasuk dalam agihan kali ini.

Bagi individu yang namanya tiada dalam pangkalan data, permohonan perlu dibuat untuk proses verifikasi kelayakan.

Maklumat lanjut, termasuk Soalan Lazim (FAQ) dan semakan status, boleh diperoleh melalui Portal Rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. MOF turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap pautan palsu yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu.

BBerkaitan

Latest articles