KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO menggesa siasatan baharu dijalankan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, oleh pegawai penyiasat yang berbeza daripada individu yang mengendalikan siasatan awal.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh, berkata langkah itu penting bagi memastikan proses siasatan bebas daripada sebarang keraguan dan syak wasangka.
“Alhamdulillah, moga keadilan untuk adik Zara. Pemergiannya dirasai kita semua. Kita desak agar kes ini disiasat oleh pegawai penyiasat lain supaya keadilan dapat ditegakkan tanpa ada sebarang syak wasangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Akmal, solidariti rakyat yang dizahirkan melalui pelbagai platform media sosial membuktikan kes ini mendapat perhatian meluas dan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau menegaskan Pemuda UMNO akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan menuntut pihak berkuasa memberi maklum balas rasmi berhubung cadangan melantik pegawai penyiasat baharu.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Langkah itu antara arahan AGC untuk memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh.
Mangsa, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama dan ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terlibat dalam kejadian tersebut.