PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengembalikan laporan siasatan awal kes kematian tragik pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkata laporan itu diserahkan semula semalam dengan beberapa arahan khusus untuk melengkapkan siasatan.
“Yang kita serah balik bukan kertas siasatan (IP), tetapi laporan penuh siasatan awal. Kami telah keluarkan beberapa arahan yang perlu disusun dan diteliti semula oleh pihak polis.
“Saya tak boleh dedahkan butiran secara terperinci kerana ia masih dalam proses siasatan,” katanya kepada media di Putrajaya.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah kira-kira jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Difahamkan, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, dan disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Susulan kejadian, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli sebagai salah satu punca insiden itu.
Sebelum ini, AGC mengesahkan telah menerima laporan siasatan daripada dua lokasi berbeza iaitu Cawangan Sabah pada 3 Ogos dan Ibu Pejabat Putrajaya pada 4 Ogos.
Penelitian dijalankan secara menyeluruh melibatkan aspek fakta dan undang-undang untuk memastikan segala keputusan yang dibuat berlandaskan prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Kami sedang meneliti kes ini dengan serius. Apa sahaja keputusan yang akan diambil nanti adalah demi memastikan keadilan ditegakkan, khususnya buat keluarga mangsa,” ujar Dusuki.