Rundingan Peruntukan Pembangkang Perlu Dapat Kesepakatan Sesama Mereka – PM

KUALA LUMPUR: Rundingan berhubung pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak akan mencapai kemajuan selagi Perikatan Nasional (PN) gagal mencapai kata sepakat sesama mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketidaksepakatan dalam kalangan wakil rakyat PN menyukarkan proses rundingan, dengan ada yang bersetuju dan ada yang menolak untuk berbincang dengan kerajaan.

“Ada yang nak berunding secara individu, ada pula nak secara berkumpulan. Jadi saya sarankan mereka ambil kata sepakat dahulu, kemudian jumpa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah sebelum ini diberi mandat untuk mengetuai proses rundingan dengan pihak pembangkang bagi menguruskan soal peruntukan Ahli Parlimen.

Isu peruntukan kepada blok pembangkang kembali hangat apabila Shahidan membangkitkan keperluan kerajaan menunjukkan keadilan, terutamanya selepas kejayaan Malaysia memainkan peranan pendamai dalam konflik Kemboja–Thailand.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mencelah dengan menyatakan kesediaannya untuk bertemu Perdana Menteri hari ini juga bagi berbincang perkara itu.

Namun, Anwar menegaskan rundingan peruntukan hanya akan dijalankan menerusi Fadillah.

“Kalau nak bincang hal-hal lain, saya tiada masalah berjumpa Ketua Pembangkang. Tapi untuk isu peruntukan, rundingan tetap dikendalikan oleh TPM,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan membuka meja rundingan secara rasmi.

Beliau mendakwa sudah menghantar surat menyatakan hasrat tersebut kepada Fadillah sejak 14 Mac lalu namun hanya menerima maklum balas selepas mengeluarkan kenyataan media mendesak penjelasan.

Sehingga ini, belum ada penyelesaian tuntas meskipun perkara tersebut berlarutan sejak awal penggal Parlimen ke-15.

BBerkaitan

Latest articles