KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap satu video tular yang memaparkan tindakan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh media sosial memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
Dalam kenyataan rasmi, MCMC memaklumkan bahawa siasatan dijalankan susulan aduan orang ramai yang mempersoalkan etika dan motif di sebalik penerbitan kandungan tersebut.
“Suruhanjaya memandang serius sebarang bentuk kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk tujuan hiburan murahan, menjana tontonan, atau mencetuskan keresahan awam,” tegas MCMC.
Menurut MCMC, penyebaran kandungan yang menjatuhkan maruah seseorang adalah perbuatan tidak beretika dan boleh menyumbang kepada pembentukan budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.
Siasatan sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.
Orang ramai turut diingatkan agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan berunsur provokasi, jelik, palsu atau bersifat ancaman yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Mana-mana individu yang didapati melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan komitmennya untuk memastikan ruang siber kekal selamat dan tidak disalahgunakan, seiring dengan usaha menegakkan kedaulatan undang-undang dan memelihara keharmonian masyarakat.
Sementara itu, insiden terbabit mencetuskan kemarahan netizen selepas tular rakaman video yang memaparkan tiga pencipta kandungan (content creator) menyerahkan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan.
Menurut perkongsian seorang pengguna media sosial, ketiga-tiga individu terbabit dipercayai makan ayam goreng di sebuah restoran makanan segera sebelum memasukkan sisa tulang ayam ke dalam bungkusan nasi dan memberikannya kepada mangsa.
Rakaman itu dimuat naik ke akaun Instagram aluk_777 dan menerima kecaman hebat kerana dianggap menghina dan tidak berperikemanusiaan.