KUALA LUMPUR: Tiga individu yang menggelarkan diri mereka sebagai content creator kini menjadi sasaran kemarahan netizen gara-gara rakaman video yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan menjijikkan apabila mereka memberikan nasi berisi tulang ayam kepada seorang lelaki gelandangan.
Dalam video tular dimuat naik ke akaun Instagram @aluk_777, ketiga-tiga mereka dilihat menikmati ayam goreng di sebuah restoran makanan segera, sebelum mengutip sisa tulang ayam dan memasukkannya ke dalam bungkusan nasi.
Lebih mengejutkan, bungkusan itu kemudiannya diserahkan kepada seorang lelaki yang dipercayai gelandangan kononnya sebagai ‘bantuan makanan’.
Tindakan biadab itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya mempersoal tindakan mereka.
Antaranya seorang pengguna media sosial menulis:
“How can someone wake up and think, ‘Jom buat konten makan KFC, lepas tu letak tulang dalam nasi dan bagi kat homeless?’ Tak masuk akal!”.
Malah orang ramai turut menggesa pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
Isu ini turut mencetuskan perbincangan antara kaum, apabila netizen menolak tanggapan bahawa hanya satu bangsa sahaja yang marah.