PETALING JAYA: Seorang pakar psikologi kanak-kanak tampil di Mahkamah Sesyen hari ini memberi keterangan bahawa istilah ‘mengabaikan’ seperti terkandung dalam pertuduhan terhadap ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin tidak menepati definisi pengabaian sebenar seperti ditetapkan badan antarabangsa.
Dr Noor Aishah Rosli, 49, berkata berdasarkan garis panduan Pertubuhan Psikologi Amerika (APA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sesuatu perbuatan hanya boleh diklasifikasikan sebagai pengabaian sekiranya melibatkan empat elemen utama iaitu emosi, fizikal, pendidikan dan keperluan asas yang berlaku secara berterusan.
“Dalam dokumen yang saya teliti, tiada bukti menunjukkan berlakunya pengabaian yang konsisten seperti yang ditakrifkan secara profesional,” jelasnya ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela yang mewakili tertuduh, Ismanira Abdul Manaf.
Menurut saksi pembelaan yang memiliki pengalaman lebih 20,000 jam bekerja bersama kanak-kanak autisme, ADHD dan masalah perkembangan lain itu, beliau sudah meneliti laporan polis serta laporan perubatan berkaitan kehilangan dan kematian Zayn Rayyan pada Disember tahun lalu.
“Ketika kejadian, Zayn lengkap berpakaian sekolah. Ibunya berjalan di hadapan, dan anak berjalan di belakang. Berdasarkan situasi tersebut, tiada gambaran pengabaian dapat disimpulkan,” katanya lagi.
Mengulas laporan bedah siasat yang menyebut terdapat kesan kecederaan pada badan, telinga, kepala dan kemaluan mangsa, beliau mengesahkan ia konsisten dengan penderaan fizikal namun menegaskan ia masih tidak membawa maksud pengabaian seperti yang didakwa pihak pendakwaan.
“Definisi pengabaian berbeza dengan penderaan. Dalam semua dokumen perubatan yang saya baca, tidak disebut bahawa arwah adalah mangsa ‘neglect’,” katanya.
Dr Noor Aishah turut mempersoalkan kelayakan beberapa saksi pendakwaan untuk menilai isu psikologi kanak-kanak, antaranya seorang pakar pediatrik dan pegawai perubatan ORL.
“Pandangan profesional mengenai pengabaian hanya boleh diberikan oleh pakar psikologi kanak-kanak terlatih,” tegasnya.
Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Ismanira kini membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya bersama suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah sebelum ini melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.
Kesalahan itu didakwa berlaku sekitar Blok R, Apartment Idaman hingga ke kawasan sungai berhampiran antara 5 hingga 6 Disember 2023.
Perbicaraan bersambung esok.