26 Pegawai Imigresen Dibuang Kerja Kerana Rasuah

KUALA LUMPUR: Seramai 26 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberhentikan kerja tahun lalu selepas didapati terlibat dalam salah laku rasuah di pintu-pintu masuk negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, angka berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya lapan pegawai yang dikenakan tindakan sama pada tahun 2023 di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Ini bukti jelas ketegasan kita – tidak kira siapa mereka, tiada toleransi terhadap perbuatan jijik (rasuah),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) dalam sesi Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Saifuddin mendedahkan seramai 50 pegawai Imigresen turut disiasat sepanjang tahun lalu atas dakwaan terlibat dalam sindiket ‘phantom travel’ yang pernah didedahkan media sebelum ini.

Katanya, semua kes terbabit kini di bawah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan dua pegawai telah didakwa di mahkamah.

“Selebihnya ada yang sedang diteliti untuk pendakwaan, dan ada juga dikenakan siasatan dalaman serta tatakelola,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH–Petaling Jaya), Saifuddin menjelaskan, tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit dibuat berdasarkan hasil risikan dan bukti prima facie, mengikut Peraturan 36 dan 37 peraturan sama.

Antara tindakan yang boleh dikenakan termasuk amaran, denda, pemotongan gaji, penurunan pangkat sehingga pemecatan, sementara bagi kes melibatkan unsur jenayah, pegawai akan dirujuk kepada SPRM dan polis.

“Sepanjang siasatan, pegawai terlibat akan dipindahkan ke bahagian yang kurang berisiko,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md. Nor mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian ganjaran kepada pegawai Imigresen yang tampil menyalurkan maklumat berhubung kegiatan rasuah dalam kalangan anggota jabatan itu.

BBerkaitan

Latest articles