Kerjasama Strategik SF dan KPF Pacu Transformasi Teknologi Hijau Sektor Perladangan

KUALA LUMPUR: Sustainable Future Sdn Bhd (SF), syarikat bersekutu di bawah Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), mengorak langkah besar dalam pemerkasaan teknologi hijau.

Menerusi satu kenyataan, melalui kerjasama strategik ini, SF diberi tanggungjawab untuk mengendalikan operasi Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar, yang kini dikenali sebagai PMS Damar Berkat, sekali gus menjadikannya tapak perintis kepada pelaksanaan model pengurusan baharu berasaskan kelestarian, kecekapan dan teknologi masa hadapan.

Sustainable Future Sdn Bhd (SF) memaklumkan bahawa pelaksanaan tersebut merupakan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh yang berlandaskan empat teras utama teknologi hijau, iaitu penggunaan kenderaan elektrik perindustrian dan pengurusan logistik, pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan sistem simpanan tenaga (BESS), pengurusan sisa bersepadu serta pelaksanaan kredit karbon menjelang 2026.

“Perjanjian ini membuka ruang untuk kami membina ekosistem hijau yang bukan hanya berdaya saing dan moden, malah membawa pulangan yang lebih tinggi kepada peneroka serta mengurangkan kebergantungan kepada sistem lama yang penuh ketirisan.

“Sebagai langkah awal, semua penghantaran Buah Tandan Segar (BTS) di PMS Damar Berkat kini akan menggunakan lori elektrik (EV). Pergerakan kenderaan ini dipantau melalui sistem Fleet Management System (FMS) secara masa nyata bagi memastikan efisiensi logistik dan penjimatan tenaga yang optimum.

“Transaksi BTS juga kini dilaksanakan secara digital, menggantikan sistem lama yang terlalu bergantung kepada peraih luar dan sukar diaudit. Kaedah ini membolehkan pemantauan lebih telus serta pengesahan terus kepada peneroka tentang kuantiti dan harga yang diperoleh.

“Harga BTS yang kami tawarkan lebih tinggi daripada pasaran luar, kerana kami mahu peneroka mendapat pulangan lebih baik hasil mereka. Ini juga salah satu cara kami membina semula kepercayaan dan menjadikan sistem ini lebih adil,” katanya lagi.

SF turut membekalkan dan menyewakan jentera berat elektrik seperti dump truck, prime mover, wheel loader, excavator dan 4×4 pickup EV. Perkhidmatan retrofitting turut disediakan untuk menukar jentera diesel kepada elektrik secara berperingkat, sejajar dengan sasaran pengurangan karbon dalam operasi ladang FELDA.

Dalam masa yang sama, pembangunan tenaga boleh diperbaharui dipergiatkan melalui pemasangan lampu jalan solar serta pembinaan ladang solar bersepadu yang disokong oleh Battery Energy Storage System (BESS). Teknologi ini menjamin kestabilan tenaga bersih, terutama di kawasan luar bandar.

“Bagi pengurusan sisa pula, kami melaksanakan pendekatan holistik termasuk penggunaan EV Compactor Trucks untuk kutipan sisa dan pemprosesan sisa makanan melalui sistem pelupusan terkawal.

“Kerjasama bersama KPF membolehkan pelaksanaan semua ini berjalan dengan kemas dan tersusun dan kami percaya ianya mampu berjaya berasaskan prinsip hijau di peringkat nasional.

“Dengan pendekatan bersifat menyeluruh dan disokong oleh struktur pelaksanaan yang jelas, SF optimis bahawa sektor perladangan bakal beralih kepada sistem yang lebih cekap, mengikuti piawaian RSPO dan MSPO justeru berdaya saing bukan sahaja dari sudut ekonomi, malah dalam mendepani cabaran iklim dan kehendak pasaran masa depan,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles