Taktik ‘Dua Identiti Terbongkar’, Amah, Pekerja Kilang Warga Asing Ditangkap Ketika Layan Pelanggan

BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan licik sekumpulan wanita warga asing yang bekerja sebagai pembantu rumah dan pekerja kilang pada sebelah siang, tetapi beralih menjadi pelayan pelanggan di sebuah pusat hiburan pada waktu malam.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi tadi di sebuah premis hiburan selepas hasil risikan dan maklumat awam mendapati lokasi berkenaan dijadikan ‘port’ aktiviti tidak bermoral.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, serbuan tersebut membawa kepada penahanan 12 wanita warga asing berusia lingkungan 30-an yang sedang leka melayan pelanggan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh warga Thailand, tiga warga Indonesia dan dua wanita Vietnam. Seorang daripada mereka memiliki pas pembantu rumah, manakala selebihnya ada yang bekerja kilang pada siang hari,” katanya kepada media.

Menurut Basri, siasatan mendapati wanita terbabit telah bekerja di premis hiburan itu sejak lima hingga enam bulan lalu dengan mengenakan caj perkhidmatan antara RM150 hingga RM250 sejam kepada pelanggan.

“Mereka disyaki melanggar syarat pas lawatan kerja serta tinggal lebih masa tanpa dokumen sah. Kesemua mereka akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Jawi.

BBerkaitan

Latest articles