KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak pernah mengaitkan kematian anaknya dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali di Sabah, tegas barisan peguam yang mewakilinya hari ini.
Menurut peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak pernah dikeluarkan oleh anak guam mereka, Noraidah Lamat, ibu kepada pelajar Tingkatan 1 yang maut dalam insiden tragis di sebuah sekolah menengah agama di Papar.
“Anak guam kami juga tidak mempunyai maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan wujudnya teriakan ‘kau pembunuh’ terhadap seorang pelajar pada hari kejadian. Beliau hanya mengetahui perkara itu selepas ianya tular di media sosial,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Peguam itu turut menafikan dakwaan kononnya tiga pelajar telah dipindahkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, tempat Zara menuntut sebelum kejadian.
“Noraidah tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan pemindahan pelajar. Perkara itu hanya diketahui selepas ia tersebar luas di media sosial,” jelas mereka.
Sehubungan itu, pihak peguam menggesa orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi dan penyebaran maklumat yang tidak disahkan, termasuk membabitkan nama mangsa, keluarga serta individu lain yang disebut dalam hantaran-hantaran viral.
“Tindakan menyebarkan maklumat palsu boleh menjejaskan siasatan polis dan membuka ruang kepada fitnah,” tambah kenyataan itu.
Dalam masa sama, peguam juga menggesa mana-mana pihak yang memiliki maklumat sah berhubung kes ini supaya tampil membantu pihak berkuasa.
Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada keesokan harinya.
Kes itu mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan masyarakat serta di media sosial.
Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa siasatan polis telah selesai dijalankan.
Beliau memaklumkan seramai kira-kira 60 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan setakat ini.