KOTA KINABALU: Tiga pelajar yang dipanggil memberi keterangan berhubung kes kematian tragis pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, masih bersekolah di institusi yang sama dan tidak dikenakan sebarang tindakan gantung atau buang sekolah.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin, yang turut menafikan dakwaan mengaitkan pelajar terlibat dengan mana-mana individu berprofil tinggi.
“Tiada seorang pun daripada tiga pelajar tersebut diberhentikan daripada sekolah. Mereka juga tidak ada kaitan dengan orang kenamaan (VIP) atau pihak polis,” katanya, seperti dipetik oleh Sinar Harian.
Raisin menegaskan bahawa Jabatan Pendidikan Sabah memberikan kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional tanpa sebarang campur tangan.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah menengah agama di Papar, ditemui dalam keadaan parah kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama sekolah.
Mangsa disahkan meninggal dunia keesokan harinya ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, semalam memaklumkan siasatan kini di peringkat akhir dan tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kes tersebut.
Beliau turut mengesahkan bahawa tiga individu yang dikenali di media sosial dengan nama samaran ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ adalah antara 60 individu yang telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.