TAWAU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bahawa beliau tidak menyokong Blok Borneo seperti yang didakwa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan kenyataan Hajiji sebagai tidak berasas dan satu pembohongan.
“Baru-baru ini keluar satu kenyataan, kononnya saya tak sokong Blok Borneo. Sejak bila saya kata begitu? Saya pun tak tahu siapa blok itu. Dari awal lagi saya sudah berada di Sabah,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Rakyat PN di Tawau, semalam.
Muhyiddin berkata kehadirannya yang konsisten di Sabah, sejak era kemasukan UMNO ke negeri itu, membuktikan komitmennya terhadap pembangunan negeri berkenaan.
“Saya yakin Sabah ada keistimewaan, kekayaan dan potensi besar untuk dimajukan. Jadi dakwaan saya menolak Sabah atau blok Borneo itu adalah tidak benar sama sekali,” tegas beliau.
Terdahulu, Hajiji ketika berucap dalam Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2025 di Kota Kinabalu pada 27 Julai lalu, mendakwa beliau mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan terdahulu selepas mendengar kenyataan daripada seorang pemimpin besar yang didakwanya tidak menyukai blok Borneo.
“Dia kata mereka adalah ‘master’. Dia tidak suka kita kongsi pandangan dengan negeri jiran seperti Sarawak. Saya amat terkejut dan terus tawar hati,” kata Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Susulan peristiwa itu, Hajiji berkata keputusan menyokong Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat selepas pertimbangan yang mendalam.
Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan tuduhan itu sebagai episod pembohongan yang perlu dinilai oleh rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah harus melihat sendiri siapa yang benar-benar ikhlas memperjuangkan hak dan pembangunan negeri ini. Sudah tiba masa untuk bina semula kekuatan dan kembalikan maruah negeri ini yang terkorban akibat pengkhianatan,” katanya.