Pasangan Gay Mengaku Salah Liwat, Laku Seks Berkumpulan Dengan Lelaki Lain

MELAKA: Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan liwat terhadap seorang lelaki, dalam kejadian yang berlaku April lalu.

Tertuduh, Muhammad Nabil Junaidi, 24, yang juga seorang pelajar kolej membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kanan Abu Bakar Mohd Daud, demikian memetik laporan Malaysia Gazette.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh jatuh hukum bagi kes tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan liwat terhadap Mohammad Fahmi Kamarudin, 26, di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Melaka Tengah pada 11 April lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM5,000, penjara sehingga 36 bulan, atau kedua-duanya, mengikut Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Dalam prosiding sama, Muhammad Nabil, Mohammad Fahmi dan seorang lagi lelaki, Meor Aliff Isqandar Meor Shaharudin, 21, turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan cubaan liwat secara bertiga, termasuk perbuatan meraba dan melakukan seks oral antara satu sama lain.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Batu, Bukit Sebukor, Melaka Tengah pada 27 Julai 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, yang membawa hukuman sama.

Ketiga-tiga tertuduh yang masih bujang dan tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan.

Namun begitu, Ketua Pendakwa Syarie, Atras Mohamad Zin dalam hujahnya memohon hukuman maksimum, dengan alasan rayuan tertuduh tidak menunjukkan rasa kesal dan memandang ringan kesalahan serta kedudukan Mahkamah Syariah.

Hakim membenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin, sementara menunggu tarikh jatuh hukum pada 22 Oktober ini.

BBerkaitan

Latest articles