Pasangan Doktor Yang Dicekup Berkhalwat Berdepan Risiko Dipecat

MELAKA: Dua doktor muda yang sedang bertugas di Hospital Melaka kini berdepan kemungkinan dibuang kerja selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah sewa di Taman Semabok Perdana, Selasa lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, mengesahkan bahawa tindakan tatatertib keras termasuk pemecatan boleh dikenakan, bergantung kepada hasil siasatan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Jika terbukti bersalah, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan ambil tindakan sewajarnya dan ya – termasuk dibuang kerja,” tegasnya kepada media selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di Tambak Paya hari ini.

Pasangan yang masing-masing berusia 26 tahun itu didakwa bersembunyi selama hampir 20 minit ketika rumah diserbu pada jam 3.25 petang.

Mereka enggan membuka pintu walaupun diminta oleh imam masjid, pihak polis, penduduk dan media.

Situasi akhirnya terkawal selepas sepasukan penguat kuasa JAIM tiba dan menahan pasangan terbabit pada jam 3.43 petang.

Ketika serbuan, doktor lelaki terbabit turut mempertikaikan tindakan penguat kuasa, mendakwa rumah itu disewa bersama dua rakan serumah lain yang tiada ketika serbuan dilakukan.

Walaupun insiden itu tular, kedua-dua doktor masih dibenarkan bertugas di Hospital Melaka sementara siasatan dijalankan.

“Kita beri ruang kepada JAIM untuk siasat sepenuhnya. Kita tidak akan campur tangan sehingga keputusan rasmi dikeluarkan,” kata Ngwe Hee Sem lagi.

JAIM dijangka akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat sebelum menyerahkannya kepada pihak hospital untuk tindakan susulan.

BBerkaitan

Latest articles