KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan sejumlah RM611 bilion pelaburan bagi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan demi Mengangkat Martabat Rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu melibatkan RM430 bilion peruntukan pembangunan kerajaan, RM120 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC/GLC), dan RM61 bilion melalui kerjasama awam-swasta (PPP).
“Lebih separuh daripada dana kerajaan iaitu RM227 bilion akan disalur kepada sektor ekonomi sebagai tunjang pertumbuhan negara,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sektor sosial turut diberi keutamaan dengan RM133 bilion, termasuk peruntukan RM67 bilion untuk pendidikan dan RM39 bilion untuk kesihatan. Sektor keselamatan menerima RM51 bilion, manakala pentadbiran diperuntukkan RM17 bilion.
Anwar memaklumkan, kerajaan menyasarkan pertumbuhan KDNK antara 4.5% hingga 5.5% setahun, didorong permintaan domestik, pelaburan swasta serta peningkatan eksport kasar sebanyak 5.8% setahun.
“Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita dijangka meningkat kepada RM77,200, sekali gus melepasi ambang status negara berpendapatan tinggi,” katanya.
Sektor utama penyumbang pertumbuhan termasuk perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan sejajar dengan peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.
Kerajaan turut mensasarkan pengurangan defisit fiskal kepada bawah 3% daripada KDNK, manakala paras hutang negara dikawal di bawah 60%.
Pasaran buruh dijangka pulih kukuh, dengan kadar pengangguran mencapai guna tenaga penuh menjelang 2030 dan pampasan pekerja meningkat kepada 40% daripada KDNK.
Inflasi pula dijangka kekal stabil antara 2% hingga 3% setahun.