RMK 13- Pembinaan Loji Waste To Energy Akan Diperluaskan Bagi Kurangkan Kebergantungan Kepada Tapak Pelupusan

KUALA LUMPUR, – Kerajaan akan memperluaskan pembinaan loji waste-to-energy (WTE) melalui kerjasama swasta sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang mampan dan berdaya tahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pendekatan ekonomi hijau di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), yang turut menekankan pemacu baharu ekonomi seperti ekonomi kitaran dan penyahkarbonan industri.

“Penggunaan sisa pertanian akan dioptimumkan dalam memacu ekonomi kitaran dan menghasilkan nilai tambah baharu yang mampan.

“Pembinaan loji waste-to-energy akan diperluas melalui kerjasama swasta untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan,” katanya ketika membentangkan usul RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa integrasi tenaga boleh baharu antara wilayah akan dilaksanakan melalui pembangunan sistem Battery Energy Storage System (BESS), grid pintar, serta projek sambung tara bekalan elektrik dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Katanya pendekatan ekonomi hijau akan terus diperkasa dalam RMK13 dengan tumpuan terhadap pelaburan mampan, infrastruktur karbon rendah dan teknologi bersih.

“Akses kepada pembiayaan hijau akan diperluas bagi menyokong usaha penyahkarbonan sektor utama negara,” katanya sambil menambah bahawa inisiatif ini turut disokong oleh pelaksanaan Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia, yang merangkumi pembangunan infrastruktur dan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF).

RMK13 turut memperkenalkan dasar pasaran karbon kebangsaan serta mempergiat teknologi penyimpanan dan pemerangkapan karbon (CCUS), bagi memastikan Malaysia berada di landasan tepat mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

RMK13 yang merangkumi tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030 memberi tumpuan kepada pembangunan mampan, pertumbuhan strategik berasaskan teknologi dan kesejahteraan rakyat berteraskan nilai insaniah Malaysia MADANI.

BBerkaitan

Latest articles