JEMPOL: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sejak Khamis lalu di Johor terungkai apabila mayatnya ditemui tertanam di sebuah kawasan semak di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan, petang tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata penemuan menyayat hati itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kandung mangsa oleh pihak polis Johor.
“Sekitar jam 4.30 petang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerima maklumat berhubung penemuan mayat kanak-kanak di kawasan Rompin.
“Siasatan mendapati kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 24 Julai lalu di Taman Bukit Indah, Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, sebelum ini kes diklasifikasikan sebagai Orang Hilang dan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Namun, dengan penemuan terbaru dan keterangan suspek, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
“Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya lagi.
Mayat kanak-kanak malang itu telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada suspek sendiri pada 24 Julai sekitar jam 2.15 pagi.
“Kes ini amat menyedihkan dan mengejutkan. Siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti motif dan butiran kejadian,” kata Ahmad Dzaffir.