KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes pecah masuk kediaman cucu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, di sini pada Rabu lepas.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata tiga individu terbabit terdiri daripada pengawal keselamatan dan pembantu rumah melibatkan warga tempatan dan warga asing.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi tangkapan dilakukan, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah kediaman milik cucu kepada bekas Perdana Menteri itu dipecah masuk mengakibatkan mangsa kehilangan barang kemas bernilai RM1.8 juta yang disimpan di dalam bilik di rumah berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu disedari oleh pembantu rumah pada 3 petang, Rabu lepas setelah mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan bilik majikannya dipercayai dimasuki pencuri. — BERNAMA