FAM Hantar Bantahan Rasmi Isu Jalur Gemilang Terbalik Di Jakarta

SHAH ALAM: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar bantahan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) susulan insiden penyokong Indonesia mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika aksi Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta baru-baru ini.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berkata bantahan tersebut juga disalurkan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), memandangkan insiden itu menyentuh sensitiviti nasional dan membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

“Kita sudah menghantar bantahan dua hari lalu kepada Setiausaha Agung AFF, Winston Lee Boon Aun dan salinannya turut dikemukakan kepada AFC.

“Ia adalah perkara yang menimbulkan rasa tidak senang, bukan sahaja kepada penyokong bola sepak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, beberapa gambar dan video tular di media sosial memaparkan Jalur Gemilang yang dipegang secara terbalik, malah ada juga yang diconteng oleh penyokong tuan rumah mencetuskan kecaman netizen serta seruan agar tindakan tegas diambil.

FAM kini masih menunggu maklum balas rasmi daripada AFF dan AFC berkenaan bentuk tindakan atau hukuman yang bakal dikenakan terhadap individu atau pihak penganjur kejohanan.

Dalam perkembangan berasingan, Noor Azman turut mengesahkan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi gelanggang rasmi bagi dua aksi persahabatan antarabangsa membabitkan Harimau Malaya menentang Singapura dan Palestin, yang dijadualkan berlangsung pada bulan September ini.

“Setakat ini memang dua perlawanan ini sahaja yang disahkan. Lokasi sudah diputuskan di Bukit Jalil dan sesi latihan akan berlangsung di Stadium Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dua perlawanan tersebut dijangka menjadi pentas penting untuk jurulatih Kim Pan-gon menguji kombinasi dan strategi menjelang kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal bersambung Oktober nanti.

BBerkaitan

Latest articles