Wanita Ditahan, Didakwa Tinggal Bayi Baru Lahir Hingga Maut

LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 30 tahun ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai meninggalkan bayi yang baru dilahirkannya di luar sebuah rumah di Kampung Burung, Jalan Bakawali, sehingga menyebabkan kematian bayi malang itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata suspek ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, semalam.

“Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku telah melahirkan bayi berkenaan dan meletakkannya di luar rumah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Polis kini sedang mendapatkan perintah reman terhadap suspek, dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu meninggalkan bayi dengan niat untuk membuangnya.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam kejadian sekitar jam 3.06 pagi Jumaat lalu, orang awam menemui seorang bayi lelaki yang cukup sifat namun berbungkus kain di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Bayi itu segera dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Namun begitu, pihak hospital mengesahkan bahawa bayi tersebut meninggal dunia pada jam 7.02 malam hari sama, dipercayai akibat komplikasi kelahiran pramatang serta kekurangan berat badan.

Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti motif dan latar belakang kes tersebut, termasuk keadaan mental dan sosial suspek ketika kejadian berlaku.

BBerkaitan

Latest articles