MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan lemas di kolam renang sebuah rumah inap di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana semalam, disahkan meninggal dunia awal pagi tadi selepas hampir 16 jam bertarung nyawa di hospital.
Perkhabaran duka itu dikongsikan sendiri oleh bapanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya sekitar jam 3.30 pagi.
“Doakan cahaya mata kami ditempatkan bersama orang-orang beriman. Allah lebih menyayanginya. Mohon doa semua sahabat agar segala urusan kami dipermudahkan.
“Jika tiada halangan, jenazah akan dibawa pulang ke Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor untuk dikebumikan di sana,” tulis beliau dalam kapsyen video berkenaan.
Semalam, kejadian mengejutkan itu berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila mangsa dipercayai lemas ketika mandi di kolam renang di premis penginapan berkenaan.
Orang awam yang menyedari kejadian segera mengeluarkan kanak-kanak itu dari kolam sebelum pasukan penyelamat tiba.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zahery Mohd Zailani, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 pagi.
“Tiga jentera termasuk van EMRS bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi. Setibanya di lokasi, kami dapati mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam dan tidak sedarkan diri. Anggota bomba terus memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada respon,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) dalam keadaan kritikal, sebelum disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.