Bas UPSI Dipandu Laju, Gagal Patuh Piawaian Keselamatan

PUTRAJAYA: Kemalangan bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu berpunca daripada kelajuan berlebihan dan pelanggaran serius terhadap aspek keselamatan operasi, menurut laporan awal Kementerian Pengangkutan (MOT).

Bas tersebut dipandu pada kelajuan 117 km/j, hampir dua kali ganda had selamat 60 km/j, ketika melalui selekoh menuruni bukit, menyebabkan ia terbalik ke kiri jalan sebelum merempuh penghadang jalan jenis W-beam yang menembusi ruang kabin penumpang.

Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan itu turut mendedahkan pelbagai kegagalan lain, antaranya:
• Tiada peranti pemantauan kelajuan seperti GPS aktif atau SLD;
• Tiada tali pinggang keledar untuk penumpang;
• Rekod saman trafik pemandu yang tinggi – 18 saman bagi pemandu utama dan lebih 20 saman digabungkan bagi pemandu kedua;
• Kelemahan pengurusan lesen, termasuk pemajakan tanpa kebenaran;
• Tiada penyaringan disiplin pemandu secara berkala;
• Ketiadaan pemantauan agensi secara proaktif dan penyelarasan lemah antara APAD, JPJ dan MOTAC.

Pemeriksaan juga mendapati sistem brek berfungsi dengan baik, namun ada tanda pemanasan melampau, dipercayai akibat penggunaan tidak sesuai atau berlebihan.

Struktur kabin yang lemah serta kekurangan ciri keselamatan pasif turut menyumbang kepada tahap kecederaan dan kematian yang tinggi.

MOT menegaskan laporan ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi untuk mencegah kejadian serupa dan menambah baik sistem keselamatan pengangkutan.

Semua pihak berkaitan diseru mengambil serius syor keselamatan yang dikemukakan bagi melindungi nyawa pengguna jalan raya.

BBerkaitan

Latest articles