KUALA LUMPUR — Pemuda MCA hari ini membalas kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan, yang mendakwa MCA gagal membela komuniti Cina dan semakin tidak relevan dalam politik negara.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta mencerminkan kebimbangan DAP yang kini semakin hilang sokongan rakyat, bukan sahaja di kalangan masyarakat Cina, tetapi juga di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Neow menegaskan bahawa MCA telah berkhidmat lebih tujuh dekad, sama ada di dalam atau luar kerajaan, memperjuangkan isu pendidikan, kebajikan masyarakat dan perpaduan antara kaum. Beliau menolak dakwaan bahawa MCA hanya retorik, sebaliknya menegaskan parti itu membawa pendekatan rasional dan tidak menjual harapan palsu atau memainkan sentimen kaum untuk undi.
“Berbanding DAP yang sering mengubah pendirian mengikut arus politik, MCA kekal dengan prinsip kestabilan dan penyatuan nasional,” katanya.
Semalam Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan, membidas dakwaan MCA bahawa komuniti Cina kecewa dengan kegagalan parti itu membela nasib mereka dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.parti itu memperjuangkan semua bangsa dan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mahupun agama.
Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata, pihaknya turut menasihati MCA supaya mencari jalan bagi mendapatkan semula sokongan daripada masyarakat.
“Berbanding dengan MCA yang hanya memperjuangkan isu komuniti Cina, DAP adalah parti berbilang bangsa yang memperjuangkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mahupun agama.
Sementara itu, tambah Neow lagi, beliau meminta DAP agar menyemak rekod sendiri sebelum menuduh parti lain.
Katanya, beberapa kenyataan berbaur perkauman yang mencetuskan ketegangan lebih banyak datang daripada pemimpin DAP, bukan MCA.
Beliau juga membangkitkan isu integriti dalam DAP, termasuk beberapa pemimpin kanan yang terpalit dengan siasatan rasuah, sekali gus menjejaskan kredibiliti parti itu. “Perjuangan kononnya ‘bersih’ dan ‘telus’ tidak seindah yang digambarkan apabila diuji dengan kuasa dan kedudukan,” tambahnya.
Tambah Neow lagi, MCA tidak akan tunduk kepada tekanan politik sempit atau cubaan mencipta persepsi bagi menutup kelemahan pihak lain. Sebaliknya, MCA kekal komited kepada semua rakyat Malaysia dengan pendekatan matang dan menyeluruh.
“Kami yakin rakyat semakin bijak menilai antara perjuangan tulen dan sandiwara politik bermusim. MCA akan terus menjadi suara bertanggungjawab untuk keharmonian negara serta memperjuangkan hak semua kaum tanpa retorik kosong,” katanya.