KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat melaksanakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan membabitkan penyitaan serta pelucuthakan aset luar biasa milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin, isteri beliau, Toh Puan Na’imah Khalid, ahli keluarga dan rangkaian sekutu yang dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion di dalam dan luar negara.
Menurut kenyataan SPRM, setakat ini aset-aset yang dikenal pasti berada di 11 negara, termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di Afrika.
Tindakan ini hasil kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa antarabangsa termasuk National Crime Agency (NCA) UK dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC).
SPRM memaklumkan telah memperoleh Perintah Halangan (Restraining Order) daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun 2025 terhadap tujuh aset alih dan tak alih di UK yang dianggarkan bernilai RM758 juta.
“Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) kepada pihak berkuasa UK sedang diproses menerusi Pejabat Peguam Negara, manakala perbincangan lanjut bersama IACCC sedang diselaraskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, permohonan perintah halangan bagi aset di Singapura dan Jersey telah difailkan pada 19 Jun lalu, dengan pendengaran kes berlangsung pada 23 dan 25 Jun.
Di Jersey, empat akaun bank dan pelaburan berjumlah RM1.15 bilion dikenal pasti, manakala di Singapura membabitkan 12 akaun bank serta pelaburan bernilai RM540 juta.
Di peringkat domestik, SPRM telah memperoleh perintah penyitaan terhadap Menara Ilham pada 4 Jun 2025 sebelum melaksanakan tindakan sitaan pada keesokan harinya.
Permohonan pelucuthakan tanpa pendakwaan mengikut Seksyen 56, Akta AMLATFPUAA 2001 difailkan pada 25 Jun 2025 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
SPRM turut memanggil Na’imah dan anak mereka, Muhammed Amir Zainuddin pada 14 Jun lalu bagi merakam keterangan berhubung pemilikan aset yang tidak diisytiharkan.
Keterangan juga akan dirakam daripada anak kedua mereka, Muhammed Amin Zainuddin, yang kini berada di UK.
Ketiga-tiga mereka merupakan pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd, syarikat induk kepada Ilham Tower Sdn Bhd, yang dikenal pasti sebagai pemilik manfaat (beneficial owner) Menara Ilham.
“Selaras dengan Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, Notis Pengisytiharan Harta telah diserahkan mulai semalam kepada 22 individu yang dikenal pasti sebagai saudara dan sekutu rapat Tun Daim dan Na’imah bagi tujuan pengesanan serta pengesahan pemilikan aset,” jelas SPRM.
SPRM menegaskan bahawa semua tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha memastikan tiada amalan rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam pengurusan kekayaan negara.
“SPRM komited menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan atau kepentingan politik,” katanya.