MELAKA: Seorang kontraktor dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh semalam selepas mengaku bersalah memukul isterinya sehingga cedera parah dalam kejadian tahun lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap See Yong Fei, 36, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes berkenaan.
Jika gagal membayar denda, tertuduh berdepan enam bulan penjara
Mengikut pertuduhan, See didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya yang berusia 39 tahun dengan memukul dan menumbuk bahagian muka serta tangan, selain menendang belakang badan mangsa sehingga menyebabkan beberapa bahagian anggota badan patah.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Bertam, Melaka Tengah kira-kira jam 11.28 malam pada 7 Mei 2024.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh berang apabila isterinya keluar rumah tanpa izin untuk ke pasar, selain turut melarang mangsa bergaul dengan orang lain.
Sebaik tiba di rumah, mangsa terus dipukul dan ditendang hingga mengalami kecederaan parah pada muka dan badan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan dialami mangsa.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Kelvinder Singh Sidhu merayu hukuman minimum atas alasan anak guamnya menyara lima anak yang masih kecil dan hanya memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 sebulan sebagai kontraktor.
Turut hadir pada prosiding, peguam Kent Tan Chow Teng yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.
Media sebelum ini melaporkan tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama sebelum menukar pengakuannya hari ini.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang juga kekasih tertuduh dan tinggal bersama telah keluar membeli sayur walaupun tidak diizinkan, sekali gus mencetuskan kemarahan See.