Jangan Peralat Agama Demi Kepentingan Peribadi

PUTRAJAYA: Kedudukan sebagai pendakwah bukan tiket untuk memperdagangkan agama demi kepentingan peribadi, apatah lagi terlibat dalam perbuatan tidak bermoral yang memalukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, setiap penceramah, pendakwah dan individu yang membawa imej Islam wajib menjaga akhlak, integriti serta maruah diri selaras dengan syariat.

Reaksi itu menyusul kepada pendedahan mengejutkan mengenai seorang penceramah bebas yang disiasat polis selepas didakwa terbabit dalam penyebaran video seks melibatkan empat isterinya sendiri.

“Saya menyeru para pendakwah khususnya yang bergerak secara bebas tanpa pengiktirafan atau pemantauan institusi berautoriti supaya mematuhi etika serta garis panduan ditetapkan pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im dalam masa sama meminta orang ramai tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan adil.

“Kita mesti menolak sekeras-kerasnya budaya aib-mengaibkan semata-mata untuk meraih perhatian atau pengaruh,” tegasnya.

Beliau turut memandang serius kes yang bukan sahaja mencemar maruah individu terlibat, tetapi juga menjatuhkan imej institusi dakwah serta menggugat kepercayaan masyarakat terhadap agamawan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan daripada isteri kedua penceramah terbabit pada 16 Jun lalu berhubung dakwaan penyebaran video berkenaan.

Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

pihaknya bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menerusi program Felo Muda Dakwah (FMD) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) telah melatih seramai 364 pendakwah muda sejak 2014 bagi memastikan hanya pendakwah berwibawa dilahirkan.

“Kerajaan MADANI terus komited memperkasa ekosistem dakwah yang lebih tersusun, profesional dan berintegriti,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pendakwah menjadi cerminan akhlak Rasulullah SAW dan memegang amanah dakwah dengan penuh tanggungjawab agar Islam terus dihormati.

BBerkaitan

Latest articles