Lawatan Rasmi Bukan Sekadar Jalan-Jalan – Setiausaha Politik Perdana Menteri Tegur Pembangkang

Tuduhan segelintir pemimpin pembangkang yang mendakwa lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara hanyalah “jalan-jalan” disifatkan sebagai cerminan minda politik sempit dan tidak memahami cabaran geopolitik semasa.

Dalam satu kemaskini, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi  menegaskan bahawa setiap lawatan luar negara yang diketuai Perdana Menteri membawa misi diplomatik dan ekonomi yang besar, termasuk menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh hubungan strategik, serta memperjuangkan suara negara membangun di pentas global.

“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh,” tegasnya.

Menurut Farhan, hasil pendekatan diplomasi ekonomi yang proaktif telah terbukti membawa pulangan nyata kepada negara, antaranya peningkatan ketara dalam pelaburan diluluskan yang mencecah RM378 bilion – naik 14.9 peratus – serta pertumbuhan perdagangan tahunan kepada RM2.88 trilion, bersamaan peningkatan 9.2 peratus pada tahun 2024.

Beliau turut merujuk kepada langkah-langkah strategik seperti pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara-negara EFTA dan penyambungan rundingan FTA bersama Kesatuan Eropah (EU) sebagai bukti komitmen Malaysia memperluas pasaran antarabangsa bagi syarikat tempatan.

Farhan turut menyelar kenyataan pemimpin pembangkang yang menurutnya gagal memahami peranan dasar luar dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu sejak Kerajaan MADANI memandu negara kita,” katanya sinis.

Dalam hantaran  sama, beliau menegaskan bahawa dunia kini kembali memandang Malaysia sebagai negara stabil dan berprinsip, dengan penyertaan aktif Perdana Menteri dalam platform antarabangsa seperti BRICS, serta kejayaan memeterai pelbagai perjanjian strategik pelaburan berbilion ringgit.

Mengakhiri hantaranny itu , Farhan menasihati pembangkang agar lebih memahami realiti dan aspirasi rakyat.

“Rakyat tidak berminda seperti anda. Mereka tahu membezakan siapa yang bekerja untuk negara, dan siapa yang sekadar menyemai kebencian dan bermain politik tanpa hikmah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles