Cubaan Bawa Masuk Fahaman Daesh Gagal, 36 Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR: Cubaan licik menyebarkan fahaman pelampau berasaskan ideologi Daesh di negara ini berjaya dipatahkan hasil operasi keselamatan bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyasarkan rangkaian militan asing.

Seramai 36 warga Bangladesh ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti berkaitan ekstremisme, termasuk merekrut ahli baharu serta mengumpul dana untuk tujuan keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa operasi tersebut dijalankan dalam tiga fasa bermula 24 April lalu di sekitar Selangor dan Johor, hasil risikan mendalam oleh Cawangan Khas PDRM.

“Lima daripada suspek telah dakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam aktiviti keganasan,” katanya.

Sebanyak 15 individu lagi dikenakan perintah pengusiran, manakala 16 yang lain masih dalam siasatan lanjut.

Siasatan mendapati kumpulan berkenaan cuba menubuhkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka di Malaysia bagi menyebarkan ideologi ganas, selain mengumpul dana untuk aktiviti subversif yang turut menyasarkan kerajaan sah di negara asal mereka.

“Malaysia tidak akan sesekali membenarkan negara ini dijadikan sebagai pangkalan militan atau pusat transit bagi kumpulan ekstremis antarabangsa,” tegas Saifuddin.

Tindakan tegas ini, ujar beliau, mencerminkan pendirian jelas kerajaan dalam mempertahankan keselamatan dan kestabilan negara daripada sebarang unsur radikal dan pelampau asing.

“Kejayaan ini membuktikan kecekapan dan profesionalisme tinggi PDRM dalam memelihara keselamatan negara. Kita akan terus menggandakan usaha risikan dan bekerjasama erat dengan agensi dalam dan luar negara,” katanya lagi.

Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada ruang buat mana-mana kumpulan yang cuba menyusup masuk dengan agenda keganasan atau ideologi radikal.

Segala bentuk ancaman ekstremis akan ditangani secara pantas, tegas dan efektif demi memastikan Malaysia terus kekal aman dan bebas daripada elemen militan.

BBerkaitan

Latest articles