KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Nizam Jaffar, tampil mempertahankan pelantikan Leftenan Jeneral Johnny Lim Eng Seng, sekali gus membidas golongan berfikiran sempit yang cuba mencetuskan kontroversi berasaskan kaum terhadap kenaikan pangkat bersejarah itu.
Menurut Nizam, tindakan mengaitkan pelantikan Johnny Lim dengan sentimen perkauman adalah tidak bertanggungjawab, bersifat songsang dan mencerminkan pemikiran cetek.
“Beliau dinaikkan pangkat atas kecemerlangan yang telah beliau pamerkan dan sememangnya layak. Tidak usahlah dikaitkan dengan fakta songsang kalau sendiri buta sejarah,” tegasnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Nizam menegaskan bahawa ATM sentiasa menjadi institusi yang mementingkan kesatuan dalam kepelbagaian, dan penyertaan anggota adalah atas dasar patriotisme dan semangat pengorbanan.
“Inilah model ‘unity in diversity’ yang ternyata amat berkesan,” katanya lagi.
Pelantikan Johnny Lim sebagai Leftenan Jeneral menjadikannya pegawai tentera berbangsa Cina pertama mencapai pangkat setinggi itu dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia.
Lim kini menjawat jawatan sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional, dan sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting dalam ATM termasuk Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Panglima 31 Briged Infantri, Inspektor Jeneral Tentera Darat dan Ketua Staf, Markas Pemerintahan Medan Barat.
Kenyataan Nizam dibuat selepas tular hantaran kontroversi Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, yang memuat naik gambar pelantikan Johnny Lim dengan naratif pelantikan perdana menteri berketurunan Cina menjelang 2058.
Hantaran itu bagaimanapun telah dipadamkan.
Zaharudin kemudian menjelaskan kepada media bahawa gambar Johnny Lim tiada kaitan langsung dengan penulisannya dan tiada niat menghina pelantikan tersebut.
PAS pula dalam kenyataan ringkas memaklumkan bahawa pandangan Zaharudin adalah pendapat peribadi, dan tidak mencerminkan dasar atau ketetapan parti.