PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan permohonan rasmi di Mahkamah Tinggi hari ini bagi melucut hak pemilikan Menara Ilham yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, permohonan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan menyeluruh agensi itu dalam siasatan membabitkan aset dan harta berkaitan dengan bekas tokoh politik berprofil tinggi itu.
“Kita akan melaksanakan proses pelucutan hak Menara Ilham hari ini. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana banyak dokumen dan perkara yang perlu disemak, termasuk fail-fail yang sangat tebal,” katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Dalam satu perkembangan berkaitan, Azam turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa di United Kingdom (UK) telah bersetuju untuk mengenakan perintah larangan (restraining order) terhadap aset keluarga dan proksi Daim di negara berkenaan bernilai kira-kira RM700 juta.
“Kita telah mendapat makluman rasmi bahawa pihak berkuasa UK menyokong permohonan kita dan akan membawa perkara ini ke peringkat mahkamah mereka,” ujarnya.
Difahamkan, antara aset tersebut termasuk tiga kediaman mewah di London, tujuh hartanah keseluruhan, serta satu akaun bank didakwa milik isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan anggota keluarganya.
Nilai keseluruhan hartanah itu mencecah GBP132 juta (RM758.2 juta).
Menurut SPRM, kesemua aset tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta AMLA 2001 (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram), susulan bukti menunjukkan harta itu berhubung langsung dengan aktiviti yang disyaki sebagai hasil daripada kegiatan haram.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi sebelum ini telah menggantung sementara perintah pembekuan aset tersebut selepas permohonan dibuat oleh peguam Na’imah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Mengulas lanjut, Azam menjelaskan bahawa pembekuan ke atas aset terbabit masih berkuat kuasa dan belum digantung sepenuhnya, seperti yang mungkin disalah faham dalam laporan media sebelum ini
“Kami masih menunggu permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham untuk menjadi pencelah pada 9 Julai ini. Proses mahkamah akan menentukan hala tuju selanjutnya,” katanya.