SPRM Selesai Siasat Kes Ismail Sabri, Tuntut Lucut Hak RM170 Juta

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan berhubung kes dakwaan rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kertas siasatan kini diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya kini menunggu keputusan pihak pendakwaan untuk permohonan melucut hak wang tunai berjumlah RM170 juta yang telah disita sebelum ini.

“Kertas siasatan telah dihantar kepada TPR bagi tindakan lanjut. Setakat ini tiada keputusan dibuat berhubung sebarang pertuduhan jenayah terhadap beliau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Azam menegaskan, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera masih mempunyai ruang undang-undang untuk mencabar permohonan SPRM di mahkamah, sekiranya beliau mahu mempertahankan hak terhadap wang yang disita.

“Ia kini menjadi isu sivil berkaitan pelucuthakan. Tindakan lanjut adalah di tangan mahkamah,” tambah beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Azam turut memaklumkan bahawa siasatan terhadap Jovian Mandagie, menantu kepada Ismail Sabri, juga telah selesai.

Jovian sebelum ini dikaitkan dengan salah satu aset utama dalam kes terbabit.

“Jovian bukan suspek, beliau hanya saksi dalam kes ini. Siasatan terhadapnya hampir lengkap dan kertas siasatan akan dihantar kepada TPR dalam tempoh dua minggu,” jelas Azam.

Pada 3 Mac lalu, SPRM mendedahkan pihaknya menemui wang tunai berjumlah RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’, dipercayai mempunyai kaitan dengan pengubahan wang haram dan dana digunakan semasa pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Turut disita adalah 13 akaun bank melibatkan jumlah lebih RM2 juta, dipercayai berkaitan dana promosi dan program publisiti kerajaan ketika itu.

BBerkaitan

Latest articles