Tiada Perang Jika Israel Berhenti Serang Iran, Palestin – Presiden Iran

KUALA LUMPUR: Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan kesediaan negaranya untuk menghentikan semua tindakan ketenteraan dan membuka laluan damai, sekiranya Israel menghentikan serangan ke atas wilayah Palestin dan Iran.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas menerima panggilan rasmi daripada Presiden Iran untuk berkongsi perkembangan terkini konflik ketenteraan yang semakin memburuk di Asia Barat.

“Beliau turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Dalam kenyataan sama, Anwar menegaskan pendirian tegas Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel ke atas Gaza dan Iran.

“Serangan ini telah meragut bukan hanya nyawa orang awam, malah kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran. Ia jelas melampaui batas kemanusiaan dan melanggar prinsip undang-undang antarabangsa,” ujarnya.

Anwar turut menyatakan bahawa walaupun Malaysia menolak keganasan sebagai jalan penyelesaian, hak Iran untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan tidak boleh dinafikan.

“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi dalam masa yang sama menolak hak sah Iran untuk mempertahankan kedaulatan negaranya,” katanya lagi.

Dalam perbualan tersebut, Presiden Iran turut menzahirkan komitmen untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat-syarat keadilan dan penghormatan terhadap kedaulatan negara dipenuhi.

Anwar menyambut baik pendirian itu dan mengulangi kepercayaan bahawa penyelesaian diplomatik adalah satu-satunya jalan untuk menghentikan kitaran keganasan di rantau berkenaan.

“Malaysia percaya hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha untuk mengelakkan pertembungan yang berpanjangan,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles