Ibu Kandung, Bapa Tiri Kanak-Kanak Maut Didera Direman Hari Ini

MELAKA: Sepasang suami isteri yang juga ibu kandung dan bapa tiri kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera, akan direman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh.

Menurut sumber, permohonan reman terhadap pasangan yang berusia dalam lingkungan 30-an itu akan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

“Ya, kedua-dua pasangan ini akan direman esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ringkas memetik MalaysiaGazette malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong ketika dihubungi mengesahkan insiden tersebut namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan awal.

Kejadian tragis itu terbongkar kira-kira jam 9.45 pagi semalam apabila pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada sebuah hospital swasta di negeri ini.

Mangsa, kanak-kanak perempuan keturunan Murut, dipercayai telah dihantar oleh bapa tirinya dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lebam di kepala dan badan, dipercayai akibat perbuatan mendera.

“Pesakit kemudian disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi,” kata sumber.

Difahamkan, ibu kandung mangsa yang merupakan warga Indonesia telah selesai membuat pengecaman mayat anaknya di Unit Forensik, Hospital Melaka kira-kira jam 4.12 petang semalam.

BBerkaitan

Latest articles