PUCHONG: Sebuah kilang kertas di Jalan Lembah Kinrara, Kampung Lembah Kinrara musnah dalam kebakaran besar tengah hari tadi, dengan hampir 80% struktur bangunan terbakar.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 12.14 tengah hari.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang kertas berkeluasan 100×120 kaki persegi dan kemusnahan dianggarkan sebanyak 80%. Tiada laporan mangsa terlibat diterima setakat ini,” kata kenyataan itu.
Sebaik menerima panggilan, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong tiba di lokasi hanya lapan minit kemudian, iaitu pada jam 12.22 tengah hari, dengan jarak sejauh 6.7 kilometer dari lokasi kejadian.
Beberapa balai bomba lain turut digerakkan untuk membantu operasi pemadaman, termasuk dari BBP Subang Jaya, Seri Kembangan dan Jalan Penchala.
Operasi pemadaman diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Haswan Mohd Wasir, yang memaklumkan bahawa kerja-kerja memadam kebakaran masih dijalankan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Kami akan mengemas kini laporan penuh dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.