Anwar Tak Campur Urusan Kehakiman Berhubung DNAA Najib

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan mencampuri urusan sistem kehakiman negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes penggubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut Anwar, keputusan itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa badan kehakiman dan Jabatan Peguam Negara.

“Itu soal hakim, itu soal Peguam Negara. Saya tidak campur,” kata beliau ringkas ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Aman, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi memutuskan untuk memberikan DNAA kepada Najib atas tiga pertuduhan membabitkan RM27 juta dana SRC.

Keputusan dibuat oleh Hakim K Muniandy setelah pihak pendakwaan memaklumkan mereka belum bersedia untuk meneruskan kes walaupun pertuduhan difailkan sejak 2019.

Hakim turut menzahirkan kebimbangan kerana tiada satu pun keterangan saksi dikemukakan sepanjang enam tahun kes tersebut tergantung di mahkamah.

Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara dalam kes lain berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta, tidak dibebaskan sepenuhnya dan kekal di Penjara Kajang meskipun menerima DNAA bagi pertuduhan terbaharu ini.

BBerkaitan

Latest articles