KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 20 pertuduhan rasuah melibatkan wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga buah kereta mewah, termasuk sebuah Bentley, BMW dan Range Rover.
Tertuduh, 61, yang juga Timbalan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), didakwa menerima suapan daripada pengarah syarikat Benalec Sdn Bhd, Datuk Leaw Seng Hai, sebagai balasan melantik syarikat itu sebagai subkontraktor bagi projek tambakan laut bernilai lebih RM45 juta di Melaka.
Antara kenderaan mewah yang didakwa diterima tertuduh adalah BMW 730Li, Land Rover Range Rover dan Bentley Flying Spur.
Menurut kertas pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan antara 18 April 2024 hingga Januari 2025 di sebuah premis di Glenmarie Temasya, Shah Alam.
Projek yang menjadi pertuduhan ialah Cadangan Menambak Laut Seluas 100 Ekar di Perairan Kota Laksamana, Melaka Tengah.
Tertuduh berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694), yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM60,000 dengan syarat pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Hakim Awang Krisnada Awang Mahmud membenarkan permohonan itu dan turut mengarahkan Mohamad Ali tidak berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan.
Tertuduh diwakili oleh peguam Md Yunos Shariff.
Sebagai rekod, Mohamad Ali pernah ditahan oleh SPRM pada April lalu selepas rumahnya di Tangga Batu, Melaka diserbu dalam siasatan berhubung kes ini.