Tabung KPT Prihatin Raih RM1.7 Juta, Sumbangan Disalur Kepada Waris Mangsa Nahas UPSI

TANJUNG MALIM: Tabung KPT Prihatin yang ditubuhkan bagi membantu waris dan mangsa tragedi nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada 9 Jun lalu telah berjaya mengumpul sebanyak RM1.7 juta dalam tempoh hanya seminggu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kutipan itu adalah hasil solidariti dan sokongan luar biasa daripada lebih 40 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, agensi kerajaan serta syarikat korporat dari seluruh negara.

“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, ia simbol kasih dan simpati seluruh rakyat Malaysia terhadap keluarga mangsa tragedi ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Tahlil Perdana di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada Isnin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor UPSI, Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Zambry memaklumkan bahawa Tabung KPT Prihatin diurus sepenuhnya oleh UPSI menerusi sebuah akaun khas, dan setakat ini, sebanyak RM371,000 telah disalurkan kepada waris dan pelajar yang terkesan.

“Bantuan awal antara RM1,000 hingga RM2,000 telah pun diberikan kepada keluarga mangsa, termasuk yang mengalami kecederaan parah. Baki dana akan terus diagihkan secara berperingkat, termasuk bagi menampung kos rawatan dan kebajikan dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.

Sebagai tanda solidariti peribadi, Zambry turut mengumumkan bahawa beliau menyumbangkan sebulan gaji kepada tabung berkenaan.

“Saya anggap ini hanyalah sumbangan kecil. Kehilangan anak-anak ini terlalu besar dan menyentuh hati seluruh negara. Tidak perlu dihebohkan, saya hanya ingin berkongsi rasa duka bersama keluarga mereka,” ujarnya.

Majlis tahlil yang diadakan turut disertai lebih 5,000 hadirin termasuk pensyarah, kakitangan dan pelajar UPSI.

Bacaan tahlil dipimpin oleh Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman, diiringi solat Maghrib dan Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Muhammad Majdan Ismail.

BBerkaitan

Latest articles