Pihak Sekolah Berusaha Jejak Guru Hilang Sejak September

JOHOR BAHRU: Seorang guru wanita yang dilaporkan tidak hadir bertugas sejak September tahun lalu akhirnya ditemui meninggal dunia di rumahnya di Bandar Selesa Jaya, Khamis lalu selepas usaha berbulan lamanya oleh pihak sekolah untuk mengesannya menemui jalan buntu.

Mangsa, Lo Kwan Fong, 39, kali terakhir menghubungi pihak sekolah pada 26 September 2024 bagi memaklumkan ketidakhadiran beliau.

Sejak itu, guru berkenaan gagal dihubungi melalui pelbagai kaedah termasuk panggilan telefon, WhatsApp, SMS, Messenger dan Telegram.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata pihak sekolah tidak pernah berhenti berusaha untuk menjejaki keberadaan Lo, termasuk mengeluarkan dua surat tunjuk sebab pada 21 November dan 19 Disember tahun lalu.

“Selepas gagal dihubungi sehingga Mac 2025, sekolah mengambil langkah menghantar surat permohonan maklumat kepada beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Aznan, jiran kepada mangsa turut mengesahkan pada 29 Disember bahawa guru terbabit sudah lama tidak kelihatan.

Terdapat juga timbunan surat pada pintu dan tingkap rumah selain kenderaan milik mangsa yang dibiarkan tidak bergerak di tepi jalan.

“Lo merupakan anak tunggal dan tinggal bersendirian selepas kematian kedua ibu bapanya. Difahamkan, beliau turut berdepan beberapa isu peribadi,” katanya lagi.

Sehingga malam tadi, mayat mangsa masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan belum dituntut oleh mana-mana waris.

Semalam, polis mengesahkan mayat seorang wanita ditemukan di dalam rumah di Bandar Selesa Jaya dan dipercayai telah meninggal dunia lebih sebulan lalu berdasarkan keadaan mayat serta siasatan awal.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keluarga mangsa atau waris terdekat diminta menghubungi pihak hospital atau balai polis berhampiran untuk urusan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles