KUALA LUMPUR, Kerajaan belum memutuskan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Iran berikut konflik terbaru negara itu dengan Israel ketika ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini, kerajaan sedang memantau rapi situasi konflik Iran dengan Israel sebelum membuat sebarang keputusan itu.
“Belum,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya selepas merasmikan Simposium SASANA di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Gabenor Bank Negara Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican.
Jumaat lalu, Israel melancarkan beberapa siri serangan ke atas Iran yang mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis negara itu.
Iran kemudian bertindak balas melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat mengesahkan tiada rakyat Malaysia di Iran yang terjejas susulan serangan Israel ke atas negara itu.