KUALA LUMPUR, Malaysia telah mencatat lonjakan membanggakan dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia 2025, apabila negara naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 — pencapaian terbaik sejak lima tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pencapaian itu adalah petunjuk jelas keberkesanan agenda reformasi ekonomi di bawah Kerajaan MADANI.
“Alhamdulillah, Malaysia mencatat lonjakan membanggakan… Ini petunjuk jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan MADANI sedang membuahkan hasil,”
Tambahnya kejayaan ini membuktikan bahawa Malaysia mampu melonjak jauh apabila terdapat tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat dengan sektor swasta.
Tambah Beliau lagi, prestasi negara yang memberangsangkan dalam aspek perdagangan, kecekapan pentadbiran, dan persekitaran pelaburan merupakan asas kukuh kepada pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
“Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” tambah beliau.
Laporan Daya Saing Dunia yang diterbitkan oleh International Institute for Management Development (IMD) menilai keupayaan sesebuah negara dalam mengurus sumber dan kebolehan untuk meningkatkan kemakmuran rakyat. Malaysia kini berada di kedudukan ke-23 daripada 67 negara yang dinilai.