ISKANDAR PUTERI: iBau busuk dari sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya, Johor membawa kepada penemuan mengejut seorang wanita yang dipercayai telah meninggal dunia sejak hampir sebulan lalu.
Mangsa dikenali sebagai Lo Kwan Fong, 39, ditemui dalam keadaan sudah reput selepas jiran memaklumkan mengenai bau yang mencurigakan kepada Balai Polis Nusa Bestari kira-kira jam 8 malam, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata hasil siasatan mendapati wanita berkenaan tinggal bersendirian dan bekerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Taman Tunku Aminah.
“Mayat wanita itu ditemui dalam keadaan penguraian lanjut (advance decomposition). Berdasarkan siasatan awal, dia dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh kira-kira sebulan. Punca kematian bagaimanapun tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan memaklumkan, bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru mengklasifikasikan punca kematian sebagai “unascertained” kerana keadaan mayat yang sudah terlalu mereput.
Wanita itu, kata beliau, tidak hadir bekerja sejak 24 September 2024, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakan sekerja dan jirannya.
“Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam siasatan awal, dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya.
Setakat ini, polis sedang berusaha mengesan waris mangsa yang difahamkan telah berhijrah dan menetap di Singapura.