KUALA LUMPUR: “Yakin kerana iman, yakin kerana ilmu, yakin kerana pencerahan.” – itulah seruan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada generasi muda ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2025 yang berlangsung meriah di Dataran Merdeka malam tadi.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa kejayaan negara dalam ekonomi dan transformasi digital tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan, tetapi ditentukan oleh jati diri, keilmuan dan kesedaran golongan muda.
“Jangan biar diri diperdaya dengan politik sempit. Bangunkan negara ini dengan keyakinan, bukan dengan kebencian atau penghinaan terhadap kaum lain,” katanya.
Turut hadir adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, timbalannya Adam Adli Abdul Halim, serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Perdana Menteri turut menyoroti perubahan landskap pendidikan negara, terutamanya lonjakan minat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Dulu susah nak ajak masuk TVET. Sekarang, permohonan sudah mencecah 140,000 orang kerana sektor baharu seperti tenaga, AI dan pusat data perlukan tenaga mahir,” jelas beliau.
Anwar turut mendedahkan bahawa syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Google, Microsoft, Nvidia dan Infineon memilih Malaysia bukan kerana faktor politik, tetapi kerana disiplin dan semangat kerja tinggi anak muda negara ini.
“Mereka tak tanya siapa Perdana Menteri, tetapi mereka nilai bakat dan semangat kerja anak muda Malaysia,” ujarnya sambil menekankan kepentingan reformasi gaji.
Dalam langkah memperkasa anak muda di tempat kerja, Anwar mengumumkan pelaksanaan Skim Gaji Perkhidmatan Awam (SSIP) dan mengarahkan GLC serta GLIC untuk menaikkan gaji minimum pekerja muda, terutama syarikat yang mencatat keuntungan besar.
“Syarikat untung berbilion tapi gaji pekerja tak setimpal? Kita beri isyarat jelas untung tinggi, gaji pun mesti naik,” tegasnya sambil menyatakan bahawa reformasi seperti ini hanya berlaku di bawah Kerajaan Madani.
Sebagai tanda sokongan kepada belia, Anwar turut mengumumkan peningkatan peruntukan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) daripada RM3 juta kepada RM4 juta, serta mempercepatkan dana untuk penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia.
“Kita boleh beri dana kerana kerajaan ini cermat, telus dan tidak sakau duit rakyat,” sindir beliau dengan nada berseloroh namun padat makna.
Mengakhiri ucapannya, Anwar memberi amaran keras terhadap ahli politik yang menunggang semangat perkauman, kononnya memperjuangkan Melayu, tetapi sebenarnya merompak tanah rizab dan khazanah negara ketika berkuasa.
“Jangan lagi tertipu. Negara ini milik kita bersama Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan semua ada hak, semua harus bangkit bersama,” katanya.