Tangguh Dulu Perjalanan Ke Iran, Iraq, Jordan – Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Malaysia mengeluarkan nasihat perjalanan ke Iran, Iraq dan Jordan susulan ketegangan antara Iran dan Israel dengan menggesa rakyatnya menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting dan mengutamakan keselamatan mereka.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan di Timur Tengah melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, serta kedutaannya di Baghdad dan Amman susulan ketegangan terkini antara Iran dan Israel.

Berikutan ketegangan yang semakin memuncak, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Iran dan beberapa negara di rantau berkenaan iaitu Iraq dan Jordan telah menutup ruang udara mereka.

“Warga Malaysia di rantau berkenaan dinasihatkan agar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan kepada jadual penerbangan dan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap rancangan perjalanan masing-masing.

“Perjalanan yang tidak penting ke kawasan terjejas harus ditangguhkan memandangkan situasi konflik yang tidak menentu,” menurut kementerian itu.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di Iran, khususnya yang berada berhampiran kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Semua warga Malaysia yang menetap atau sedang berada di Iran digesa untuk mengemas kini maklumat peribadi mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran,” katanya.

Menurut Kementerian Luar, pihaknya kekal komited dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara melalui pejabat-pejabat perwakilan diplomatiknya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan sekiranya berlaku kecemasan dinasihatkan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia yang terdekat.

BBerkaitan

Latest articles