Brek Okey, Loke Sahkan Nahas Bas Bawa Pelajar UPSI Bukan Salah Mekanikal

GERIK: Tragedi menyayat hati di Tasik Banding yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan berpunca daripada kerosakan brek, sebaliknya berkemungkinan besar akibat faktor manusia dan kelajuan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan dapatan awal pemeriksaan teknikal oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tidak menunjukkan sebarang masalah pada sistem brek bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan 9 Jun lalu.

“Keadaan fizikal semua ‘brake lining’ dan ‘brake drum’ berada dalam keadaan memuaskan. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal yang boleh dikaitkan sebagai punca kemalangan,” kata Loke dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan turut mendapati bunga tayar mencukupi, serta komponen stereng dan suspensi juga dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sebelum ini, pemandu bas berkenaan, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mendakwa brek gagal berfungsi sebelum insiden.

Pemandu itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Gerik semalam atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya, yang menyebabkan kematian para pelajar UPSI.

Dia, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Lebih mengejutkan, polis mendedahkan pemandu itu memiliki 18 saman, termasuk 13 berkaitan kesalahan memandu laju.

Pihak berkuasa turut mengesahkan menerima rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada seorang pemilik kenderaan di lokasi kejadian.

Rakaman itu memaparkan bas dipandu dalam keadaan laju sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta sebuah MPV dari arah belakang.

“Rakaman ini merupakan bukti penting dan akan diteliti secara terperinci oleh pegawai penyiasat,” kata polis.

Bas berkenaan membawa 42 pelajar UPSI sebelum terbabas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Tragedi itu meragut 15 nyawa pelajar IPTA berkenaan.

Dalam pada itu Loke memberi jaminan bahawa langkah penambahbaikan keselamatan jalan raya akan dipertimbangkan selepas laporan lengkap siasatan diperoleh.

“Kita akan pastikan tragedi seperti ini tidak berulang. Penemuan akhir akan dijadikan asas untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles